www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Monday 5 March 2012

MORFOLOGI

MORFOLOGI

1.1 Pendahuluan

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Semakin besar jumlah penuturnya, semakin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan semakin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya. Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu. Bidang morfo-sintaksis merupakan gabungan ilmu morfologi dan sintaksis yang berkaitan dengan pembentukan perkataan dan pembinaan ayat. Gabungan ilmu morfologi dan sintaksis menjadi inti penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa di dalam bilik darjah seterusnya penggunaannya yang meluas dalam kehidupan sehari-harian seseorang pelajar.

1.2 Definisi Morfologi

Menurut Nik Safiah Karim (1996), beliau mendefinisikan morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji tentang struktur, bentuk, dan penggolongan kata. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mendifinisikan morfologi ialah satu kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi (pengimbuhan), terbitan, dan pemajmukan. Manakala Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) mendefinisikan morfologi ialah satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukanya.


Buku Tatabahasa Dewan (2004) mendefinisikan morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa (morfem), sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Kesimpulannya, yang saya faham tentang bidang morfologi ialah kajian tentang proses pembentukan kata yang akan melalui proses penyusunan morfem atau unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan dari segi struktur, bentuk dan penggolongan kata sebagai prosesnya. Pengimbuhan juga membantu proses pembentukan perkataan. Melalui proses-proses tersebut akan menghasilkan pembentukan perkataan yang bermakna sebagai hasil yang dicapai dalam proses yang dilalui tersebut.








1.3 Pembahagian Pembentukan Kata Mengikut Tatabahasa Dewan (2004)


Bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya. Ada bentuk perkataan yang bersifat tunggal, contohnya rumah, tinggal, dan putih. Di samping itu terdapat perkataan yang dibentuk hasil proses pengimbuhan, pemajmukan, dan pengandaan. Contoh perkataan yang dientuk secara pengimbuhan ialah meninggal dan meninggalkan; contoh perkataan yang dibentuk secara pemajmukan ialah putih melepak dan rumah pangsa; dan perkataan yang dibentuk secara penggandaan ialah putih-putih dan rumah-rumah pangsa.

Menurut Nik Safiah Karim dan rakan (1996), proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa merupakan proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa, proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan. Imbuhan bermaksud unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Imbuhan dibahagikan kepada empat jenis, iaitu awalan, akhiran, sisipan dan apitan.

Selain itu, terdapat juga bentuk kata yang dihasilkan misalnya melalui proses penyingkatan kata yang menghasilkan kata tunggal jenis akronim iaitu Bernama, pawagam, Mara, dan kugiran.



1.3.1 Proses Pembentukan Kata

Proses pembentukan kata dalam Bahasa Melayu dari segi bentuk-bentuk yang terhasil seperti berikut:

· bentuk kata tunggal

· bentuk kata terbitan

· bentuk kata majmuk

· bentuk kata ganda





1.3.1.1 Bentuk kata tunggal



Perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang tidak menerima sebanrang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian tergolong ke dalam kata tunggal.

Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih.

Walaupun terdapat kata tunggal yang tidak pernah menerima apa-apa imbuhan, seperti ini, itu, sini, dan sana, namun kebanyakan kata tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluas dan menjadi bentuk terbitan.

a) Kata tunggal satu suku kata

Contohnya :

1. KKKVK (skrip, straw, strok, skrin.)



b) Kata tunggal dua suku kata

Contohnya :

1. V + KV - aku (a+ku), apa (a+pa), itu (i+tu), ubi (u+bi).



c) Kata tunggal tiga suku kata

Contohnya :

1. KV + V + KV cuaca, suara, tuala, siapa, biola



d) Kata Tunggal empat suku kata dan lebih

Contohnya :

1. KV + KV + VK + KV - keluarga biduanda keluangsa



e) Kata tunggal (akronim)

Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal, suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.

Akronim boleh ditulis dengan tiga cara.

i. Akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar.
Contoh :

· LUTH - (Lembaga Urusan dan Tabung Haji)

· ABIM - ( Angkatan Belia Islam Malaysia)



ii. Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya.(jika bukan nama khas)
Contoh :

· tabika - (taman bimbingan kanak-kanak)

· cerpen - (cerita pendek)



iii. Jika akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata itu menjadi nama khas, kata itu ditulis bermula dengan huruf besar.

Contoh :

· Bernama - (Berita Nasional Malaysia)

· Pernas - (Perbadanan Nasional)

· Intan - (Institut Tadbiran Awam Negara)




1.3.1.2 Bentuk kata terbitan


Kata terbitan ialah bentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan.

a) Kata terbitan berawalan

Awalan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan.

i. awalan kata nama

Contoh :

· pe - pekebun, pelaut, peladang, pesawah, pekedai

· juru - juruterbang, juruwang, jurubahasa, jururawat.



ii. awalan kata kerja

Contoh:

· me - melihat, melawat, merawat, merebus, melombong,

· ber - berlari, bercukur, berfikir, berbuah, bertanya, bersuara.



iii. awalan kata adjektif

Contoh:

· ter - terkecil, terbesar, tertinggi, terkurus.

· se - sehodoh, secantik, senipis, setebal.





b) Kata terbitan berakhiran

Akhiran dalam bahasa Melayu hanya wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja seperti yang berikut:

i. akhiran kata nama

Contoh:

· -an pakaian, jahitan, mainan

· -wan sasterawan, angkasawan, usahawan



ii. akhiran kata kerja

Contoh:

· -kan buatkan, gunakan, besarkan, tinggikan

· -i turuti, duduki, berkati, dekati







c) Kata terbitan berapitan

Apitan wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitandan kata adjektif terbitan seperti berikut:

i. apitan kata nama

Contoh:

· pe-…-an pelaksanaan, perasaan, penyiaran

· ke-…-an kelainan, kelebihan, kedukaan



ii. apitan kata kerja

Contoh:

· me-…-kan memainkan, melukakan, menakutkan

· di-…-i didekati, dimulai, diadili



iii. apitan kata adjektif

Contoh:

· ke-…-an keinggerisan, kearaban, kecinaan



d) Kata terbitan bersisipan

Bentuk sisipan tidak produktif lagi dalam pembentukan kata terbitan dengan maksud kata terbitan baharu tidak lagi dibentuk dengan sisipan kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta. Sisipan bahasa Melayu wujud dalam:

i. kata nama

Contoh:

· -el- kelengkeng, telunjuk, kelabut

· -er- keruping, seruling, serabut



ii. kata adjektif

Contoh:

· -el- kelebak, selerak, gelembung

· -er- serabut, gerigi

· -em- gemilang, semerbak, gemerlap

· -in- sinambung




1.3.1.3 Bentuk Kata Majmuk


Proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih, dan mewujudkan makna tertentu. Kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, iaitu :

a) Rangkai kata bebas.

Contoh: cita rasa, jalan raya, menteri besar, naib cancelor



b) Istilah khusus

Contoh: reka bentuk, reka cipta, uji kaji, atur cara

c) Maksud kiasan

Contoh: Buah hati, bulan madu, duit kopi, kaki judi

d) Kata majmuk yang telah mantap ditulis sebagai satu perkataan

Antarabangsa, setiausaha, matahari, beritahu, sukarela, pesuruhjaya, bumiputera, suruhanjaya, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, warganegara, kakitangan, tanggungjawab, kerjasama.

e) Penggandaan kata majmuk

· Gandaan unsur pertama

mata-mata pelajaran, perdana-perdana menteri

· Gandaan seluruh unsur

kakitangan-kakitangan, suruhanjaya-suruhanjaya

f) Pengimbuhan kata majmuk

imbuhan awalan dan akhiran

· ambil kira - mengambil kira

· uji bakat - menguji bakat

g) imbuhan apitan

· ubah suai – mengubahsuaikan

· kemas kini – mengemaskinikan



1.3.1.4 Bentuk Kata Ganda


Proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses demikian kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu.


Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan, iaitu:

a) Penggandaan penuh

kata dasar tidak berimbuhan

· pulau-pulau

· sungguh-sungguh



kata nama berimbuhan

· pemimpin-pemimpin

· persatuan-persatuan



b) Penggandaan separa

· kata dasar tunggal

Ø laki --- lalaki --- lelaki

Ø langit --- lalangit --- lelangit

· kata dasar berimbuhan

Ø berlari-lari

Ø sepandai-pandai

Ø kasih-mengasihani

Ø bantu-membantu



c) Penggandaan berentak

· Pengulangan vokal

Ø sayur-mayur

Ø gotong-royong



· Pengulangan konsonan

Ø gunung-ganang

Ø mandi-manda



· Bebas

Ø anak-pihak

Ø lintang-pukang






1.4 Analisis Pembentukan Kata berkaitan petikan



Untuk kajian ini, saya telah memilih sebanyak tiga petikan iaitu dua petikan daripada buku teks Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 5 dan satu petikan daripada buku teks Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 6 sebagai bahan kajian (rujuk lampiran).


Analisis tentang pembentukan kata adalah mengikut perkara yang berikut:

· kata terbitan

· kata majmuk

· kata ganda



a) Kata Terbitan

i. Kata terbitan berawalan :

Awalan kata nama Perkataan Rujukan

· pe- pemandu P1,B25

· pen- penjaga P1,B10

Awalan kata kerja Perkataan Rujukan

· mem- membawa P1,B5

· ber- berpindah P1,B36



Awalan kata adjektif Perkataan Rujukan

· ter- tercantik P1,B8

· se- seindah P1,B19



ii. Kata terbitan berakhiran :

Akhiran kata nama Perkataan Rujukan

· -an makanan P1,16



Akhiran kata kerja Perkataan Rujukan

· -kan tingkatkan P2,B10

· -i ingkari P2,B18



iii. Kata terbitan berapitan :

Apitan kata nama Perkataan Rujukan

· pem-…-an pembinaan P2,B7

· pem-…-an pembuangan P3,B20



iv. Apitan kata kerja Perkataan Rujukan

· meng-…-kan menggunakan P3,B14

· me-…-kan melawaskan P3,B20



v. Apitan kata adjektif Perkataan Rujukan

· ke-…-an ketinggian P3,B6



vi. Kata terbitan bersisipan :

Sisipan kata nama Perkataan Rujukan

· -er- kerajaan P2,B8

· -er- serbuk P3,B15



Sisipan kata adjektif Perkataan Rujukan

· -er- ceria P1,B4

· -er- jernih P2,B2



b) Kata Majmuk

i. Rangkaian kata bebas :

Perkataan Rujukan

· air laut P1,B31

· taman rekreasi P2,B8

ii. Berbentuk istilah khusus :

Perkataan Rujukan

· demam denggi P2,B1

· nyamuk aedes P2,B1



iii. Mendukung maksud kiasan :

Perkataan Rujukan

· makan angin P1,B6

· berat hati P1,B18



iv. Bentuk yang telah tetap :

Perkataan Rujukan

· kerjasama P2,B12

· tanggungjawab P2,B13



v. Penggandaan kata majmuk : (*tiada contoh dalam petikan)

Contoh lain:

Perkataan Rujukan

· alat-alat tulis

· balai-balai raya



vi. Pengimbuhan kata majmuk : (*tiada contoh dalam petikan)

Contoh lain:

Perkataan Rujukan

· bercampur aduk

· daya serapan –



c) Kata Ganda

i. Kata ganda penuh :

Perkataan Rujukan

· tiba-tiba P1,B20

· anak-anak P1,B40



ii. Kata ganda separa :

Perkataan Rujukan

· teroleng-oleng P1,B31

· bersama-sama P2,B12



iii. Kata ganda berentak :

Perkataan Rujukan

· mandi-manda P1,B14

· turun-temurun P3,B4













BAHAGIAN B : SINTAKSIS



2.1 Definisi frasa


Frasa boleh didefinisikan sebagai unsur yang terdapat dalam sesuatu ayat yang mempunyai unsur-unsur yang tersendiri yang terdiri daripada unsur frasa yang lebih kecil dan setiap satu unsur frasa yang kecil itu mengandungi unsur perkataan, misalnya:



Subjek Predikat
(Frasa Nama) Frasa Kerja)
Bayi itu sedang tidur.

Dalam binaan tersebut, dimasukkan juga fungsi kata atau frasa sebagai pembentuk frasa tersebut. Misalnya frasa bayi itu, terdiri daripada kata bayi dan kata itu. Kata bayi merujuk kata nama yang berfungsi sebagai inti, dan kata itu merujuk kata ganti tunjuk yang berfungsi sebagai penerang. Oleh yang demikian, dalam frasa terdapat inti frasa dan penerang frasa.



Urutan kata sangat penting kerana perbezaan urutan kata dapat menimbulkan perbezaan makna frasa. Contohnya, frasa lima jam tidak sama dengan jam lima, begitu juga antara tidur lagi dan lagi tidur merupakan dua binaan yang berbeza maksud.

2.2 Jenis-Jenis Frasa Berdasarkan Buku Tatabahasa Dewan


Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan terdapat empat jenis frasa iaitu:

· Frasa Nama

· Frasa Kerja

· Frasa Adjektif

· Frasa Sendi Nama





2.2.1 Frasa Nama



Frasa nama ialah binaan yang dari sudut nahu boleh terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang boleh berfungsi sebagai satu konstituen dalam binaan ayat.







Binaan ayat dasar dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua konstituen utama, iaitu subjek dan predikat. Unsur-unsur yang membentuk dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu terdiri:

i. Frasa Nama + Frasa Nama

· Encik Zainal + pengurus syarikat.



ii. Frasa Nama + Frasa Kerja

· Anak mereka + sedang tidur



iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif

· Baju itu + merah.



iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama

· Rumah saya + di Negeri Sembilan







2.2.2 Frasa Kerja


Frasa kerja ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja. Kata kerja tersebut boleh merupakan kata kerja tak transitif atau kata kerja transitif. Kata kerja transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu atau sederetan perkataan, manakala kata kerja trasitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain.
Antara binaan frasa kerja adalah terdiri:

i. Frasa kerja tanpa objek

· Pokok itu tumbang



ii. Frasa kerja dengan objek

· Mesin itu mengepam air.



iii. Frasa kerja dengan Kata Bantu

· Ibu sedang memasak nasi.



iv. Frasa kerja dengan Ayat Komplemen

· Berita itu menyebut bahawa semua penumpang terselamat.















2.2.3 Frasa Adjektif


Frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mengandungi kata sifat atau adjektif sebagai intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat. Sebagi unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah kata kerja dan sebagai unsur penerang, kata adjektif hadir sesudah kata nama.



Antara binaan frasa adjektif ialah:

i. Frasa Adjektif + Unsur pengisi frasa adjektif

· Pelayan kedai Pak Ali rajin.



ii. Kata Bantu dalam Frasa Adjektif

· Anak kucing masih kecil.







2.2.4 Frasa Sendi Nama



Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama itu. Kata sendi nama ialah bentuk morfem atau kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah:



di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh, dengan, tentang, sampai



Frasa sendi nama boleh juga, sebagai pilihan, didahului oleh kata bantu.
Antara binaan frasa sendi nama ialah:

i. Kata Sendi Nama + Frasa Nama

· Abang pulang dari Johor Bahru.



ii. Kata Sendi Nama + Kata Nama Arah+ Frasa Nama

· Ayah berkebun di belakang rumah.



iii. Kata Sendi Nama + (Kata Nama Arah) + Frasa Nama + (Frasa Keterangan)

· Rosli melancong ke utara negeri Jepun pada tahun lalu.





2.3 Analisis frasa-frasa berkaitan petikan



Untuk kajian ini, saya telah memilih sebanyak empat petikan iaitu satu daripada buku teks Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 2 [Jilid 2], dua petikan daripada buku teks Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 5 dan satu petikan daripada buku teks Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Tahun 6 sebagai bahan kajian (rujuk lampiran).





Analisis tentang frasa adalah mengikut perkara yang berikut:

· frasa nama

· frasa kerja

· frasa adjektif

· frasa sendi nama



a) Frasa Nama

i. Frasa Nama + Frasa Nama Rujukan

- Nabilah, Haikal dan Saraswati ialah murid tahun dua. P4,B



ii. Frasa Nama + Frasa Kerja Rujukan

- Mereka suka menabung. P4,B1



iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif Rujukan

-Tangkai daunnya pendek dan berwarna ungu kemerah-merahan. P3,B7&8



iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama Rujukan

- Pulau itu terletak di utara pekan Semporna. P1,B6&7



b) Frasa Kerja

i. Frasa Kerja Tanpa Objek Rujukan

- Mereka suka menabung. P4,B1



ii. Frasa Kerja Dengan Objek Rujukan

- Misai kucing dapat membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan di dalam badan. P3,B19&20



iii. Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Rujukan

- Ibu bapa murid sudah lama menanti anak-anak mereka. P1,B39&40



iv. Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen Rujukan

- Pemandu bot mengatakan bahawa bot mengalami kerosakan kecil di bahagian enjin. P1,B25&26

c) Frasa Adjektif

i. Frasa Adjektif + Unsur Pengisi Frasa Adjektif Rujukan

- Wajah anggota rombongan menunjukkan reaksi cemas. P1,B28



ii. Kata Bantu Dalam Frasa Adjektif Rujukan

- Anggota rombongan amat resah. P1,B26&27



d) Frasa Sendi Nama

i. Kata Sendi Nama + Frasa Nama Rujukan

- Kira-kira sejam perjalanan, kami pun tiba di pulau. P1,B13



ii. Kata Sendi Nama + Kata Arah + Frasa Nama Rujukan

- Sementara itu, pemandu bot dan pembantunya terus berada di dalam bot untuk menunggu bantuan daripada majikan mereka. P1,B37&38



iii. Kata Sendi Nama + Kata Nama Arah + Frasa Nama + Frasa Keterangan Rujukan

- Wabak ini disebarkan oleh nyamuk aedes yang biasanya membiak di dalam air jernih yang bertakung. P2,B1&2






3.1 Penutup



Kesimpulannya, bidang morfo-sintaksis adalah dua unsur yang tidak boleh dipisahkan dalam aspek tatabahasa yang berkaitan dengan pembentukan perkataan dan pembinaan ayat. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran, aspek tatabahasa di dalam bilik darjah yang menggabungkan ilmu morfologi dan sintaksis menjadi inti penting sebagai saluran kepada perkembangan bahasa Melayu. Penggunaannya yang meluas dalam kehidupan sehari-harian seseorang pelajar akan membentuk masyarakat yang menuturkan secara lisan dan secara bertulis mengikut pertuturan dan penulisan yang betul di samping bahasa sebagai satu alat untuk perpaduan rakyat dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.





















RUJUKAN


Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood (2004).Tatabahasa Dewan – Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur


Ahmad Khair Mohd Nor (2003).Pengantar Sintaksis Bahasa Melayu (Tatabahasa: Ayat). Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Darwis Harahap Mohamad (2004).Perbincanan Bahasa.Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur



Abdullah Jumain Abu Samah (1991).Pengayaan Struktur Ayat dan Frasa.Mahir Publication Sdn Bhd, Kuala Lumpur



Haji Hamzah Hj. Mahmood (1997).Pembentukan Tatabahasa Melayu Mengikut Proses Hukum Morfologi dan Sintaksis.Koperasi Kakitangan Universiti Islam Antarabangsa (M) Berhad, Petaling Jaya



Abdul Jalil bin Othman, Faizul Mashura binti Ismail (2003). Buku Teks Bahasa Melayu SK Tahun 2 [Jilid 2]. Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur

Mohd. Nasar b. Sukor, Zainal Arifin b. Yusof, Kamarudin b. Jeon, Khadijah bt. Yusof (2006).Buku Teks Bahasa Melayu SK Tahun 5.Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur



Mohd. Nasar b. Sukor, Syamsul Yusli b. Mohamad Yusop, Mohamad b. Musip, Napisah bt. Muhammad (2007).Buku Teks Bahasa Melayu SK Tahun 6 Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur





sumber: http://jepri7.blogspot.com/2010/03/morfo-sintaksis-bahagian-morfologi-1.html
◕‿◕ Permulaan sabar adalah pahit tetapi manis akhirnya.◕‿◕